Ahad, 28 Mei 2017 | 4:13pm

Pasangan kekasih didakwa bunuh kanak-kanak

SEPASANG kekasih, Mohd Hanafi Misban dan Sofia Nabila Naim dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh bayi berusia setahun sembilan bulan 15 Mei lalu di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

KOTA TINGGI: Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh anak wanita itu yang berusia setahun sembilan bulan di FELDA Bukit Easter, 15 Mei lalu.

Mohd Hanafi Misban, 28, dan Sofia Nabila Naim, 22, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Salawati DJambari.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Hanafi dan Sofia Nabila didakwa menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki itu antara jam 7.10 pagi hingga 2.30 petang pada 15 Mei lalu. 

Kesalahan dilakukan di Blok 4, Peringkat Dua, FELDA Bukit Easter di sini.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaila Shafiuddin, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 3 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dan kimia.

Berita Harian X