Isnin, 29 Mei 2017 | 10:53am
JURULATIH skuad hoki wanita, Dhaarma Raj Abdullah ketika mengendalikan sesi latihan skuad hoki wanita di Stadium Hoki Tun Razak menjelang saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium. - Foto Luqman Hakim Zubir

Pemain tiada masalah berlatih 3.30 pagi


JURULATIH skuad hoki wanita, Dhaarma Raj Abdullah (kiri) ketika mengendalikan sesi latihan skuad hoki wanita di Stadium Hoki Tun Razak menjelang saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Brussels, Belgium. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Pakar pukulan sudut penalti wanita, Nuraini Abdul Rashid mengakui skuad hoki negara tidak berdepan masalah menyesuaikan diri dengan jadual latihan baru yang diperkenalkan jurulatihnya, Dhaarma Raj Abdullah.

Bermula hari ini skuad yang dikenali dengan jolokan Malaysia Tigress mengubah pelan dengan mengadakan sesi latihan pada jam 3.30 pagi sebagai persiapan menghadapi saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di Brussels, Belgium, Jun ini.

Biarpun, ada segelintir pihak yang mempersoalkan langkah berkenaan, namun bagi Nuraini, dia dan rakan sepasukan tiada pilihan kerana situasi jadual perlawanan waktu malam di Belgium yang memiliki perbezaan waktu lewat enam jam daripada waktu Malaysia.

"Untuk latihan hari ini (hari pertama) saya rasa kami semua tidak berdepan masalah (menyesuaikan diri).

"Cuma kurang berpuas hati kerana hanya sempat menjalani latihan selama 45 minit gara-gara kelewatan pemasangan lampu limpah stadium yang merencatkan sedikit latihan kami hari ini.

"Apapun kami tetap perlu biasakan diri kerana situasi jadual perlawanan WHL yang menyaksikan perlawanan kami lebih kurang waktu ini (jika mengikut waktu Malaysia)," kata pemain pertahanan itu.

Pada sesi latihan jam 3.30 pagi tadi, seramai 23 pemain skuad hoki negara turun menjalani latihan sekalipun lampu limpah Stadium Tun Razak hanya dibuka 45 minit kemudian.

Kelewatan itu bagaimanapun tidak menghalang pasukan di ranking ke-22 dunia itu untuk memulakan sesi pemanas badan di dalam kegelapan sebelum mula melakukan latihan taktikal sebaik lampu dibuka

Malah, Nuraini yang muncul penjaring terbanyak Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) musim ini tidak merasa terbeban dengan jadual baru itu sebaliknya mengakui perlu bijak merancang waktu rehat.

Sebagai persiapan awal, skuad bimbingan Dhaarma yang muncul naib juara Pusingan Kedua WHL di Kuala Lumpur, Januari lalu dijangka mengadakan lima sesi ujian menentang Skuad Pembangunan Negara pada minggu ini.

Berita Harian X