Isnin, 29 Mei 2017 | 6:44pm

Media Prima tinjau perolehan segmen bukan tradisional


DATUK Seri FD Iskandar.

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd meninjau pertumbuhan perolehan dalam segmen digital dan bukan tradisional menerusi inisiatif strategik perniagaan yang dilancarkan pada 2016 dan awal 2017.

Pengerusi Kumpulannya, Datuk Seri FD Iskandar, berkata kumpulan itu sudah melancarkan beberapa inisiatif penting pada 2016 bagi meneroka perolehan baharu dan pada masa sama menggabungkan penguasaan pasaran dalam perolehan pengiklanan teras.

Pada 2016, Media Prima melancarkan beberapa kerjasama berasaskan 'Perniagaan kepada Pengguna' seperti platform beli-belah di rumah, CJ Wow Shop, melakukan rombakan perkhidmatan langganan video dalam talian secara strim, Tonton, memperkenalkan permainan mudah alih dan aplikasi gaya hidup digital untuk pengguna mudah alih.

Terkini, kumpulan itu turut mengumumkan pemilikan REV Asia Holdings Sdn Bhd yang secara signifikan mengukuhkan capaian digital Media Prima sekali gus memacu perolehan daripada pertumbuhan dalam pengiklanan digital.

Beliau berkata, kumpulan itu menjangkakan tempoh pasaran yang kekal tepu untuk jangka panjang dengan perolehan pengiklanan rendah atau rata yang direkodkan oleh semua platform media kecuali platform digital dan platform pengiklanan Luar Rumah (Out-of-Home).

"Faktor seperti fragmentasi pengguna, kemajuan teknologi, peralihan daripada pengiklanan tradisional kepada pengiklanan media digital dan peningkatan persaingan daripada kemasukan media baharu dan pemain media global terus memberikan cabaran kepada Kumpulan dalam tempoh suku pertama 2017," katanya dalam satu kenyataan.

Media Prima merekodkan pendapatan RM272.2 juta dan kerugian selepas cukai (LAT) RM41.4 juta bagi tempoh suku pertama berakhir 31 Mac 2017.

Kumpulan mencatatkan penurunan perolehan 10 peratus berbanding tempoh sama 2016.

Ini disumbangkan penurunan jualan akhbar dan pendapatan pengiklanan dalam platform media yang berdepan cabaran semasa dan kelemahan dalam perbelanjaan pengiklanan (Adex) serta peralihan kepada media digital.

Namun, kumpulan itu sudah meneroka inisiatif baharu berasaskan pengguna dan digital untuk menjadi pelengkap kepada segmen media tradisional Kumpulan, yang mana kebanyakan inisiatif ini masih belum mencapai tempoh matang.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Amrin Awaluddin, berkata industri media tradisional hari ini berdepan penurunan dalam Adex, diikuti keadaan makroekonomi sukar, peningkatan dalam persaingan, gangguan teknologi dan perubahan dalam perilaku pengguna.

"Jangkaan unjuran bagi 2017 kekal mencabar," katanya.

Berita Harian X