Selasa, 30 Mei 2017 | 1:51pm

Harga barang basah di Kedah masih terkawal


PENGARAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) NegeriĀ Kedah, Mohammad Fitri Hassan (kiri) bersama pegawainya melihat tanda harga ayam yang dijadikan harga kawalan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri sewaktu mengadakan pemeriksaan Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan di Pasar Besar Alor Setar. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Kenaikan harga barang basah di seluruh Kedah tidak dipengaruhi permintaan mendadak semasa Ramadan sebaliknya ia disebabkan faktor pembekal dan cuaca.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, Mohd Fitri Hasan, berkata menerusi pemantauan setiap hari, kenaikan harga sayur-sayuran dan ikan tidak dapat dielakkan namun masih lagi terkawal.

"Bagi sayur-sayuran, hanya naik antara RM2 hingga RM5...contohnya seperti cili besar dan daun sup, ada yang jual RM8, RM10 dan RM12 sekilogram...Ia bergantung dari mana peniaga itu memperoleh barang mereka.

"Sekiranya dibeli daripada pemborong dari Cameron Highlands, ia agak mahal kerana keadaan cuaca di sana ketika ini, manakala jika dibekalkan pemborong Thailand, harganya lebih murah.

"Begitu juga dengan harga ikan temenung, harganya hari ini lebih murah iaitu kira-kira RM6 sekilogram berbanding sebelum ini antara RM10 hingga RM16...apabila pendaratan ikan itu meningkat kerana faktor cuaca yang baik, maka harganya akan menjadi lebih murah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Pemeriksaan Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan (SKHBR) 2017 di Pasar Besar, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Fitri berkata pengguna tidak perlu melakukan pembelian panik semasa Ramadan sebaliknya hanya perlu bijak membeli kerana setiap gerai menawarkan harga yang berbeza.

Katanya, sehingga kini pihaknya belum mengesan peniaga yang menaikkan harga yang tidak munasabah.

Berita Harian X