Khamis, 1 Jun 2017 | 6:55pm

Malaysia buka peluang untuk syarikat francais asing

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

HO CHI MINH: Malaysia membuka peluang luas untuk syarikat francais dari luar negara khususnya negara ASEAN untuk menembusi pasaran tempatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata Malaysia mempunyai perundangan khusus bagi mengawal selia industri francais bagi memastikan ia berkembang dengan baik.

"Malaysia menerajui industri francais di rantau ini kerana kita mempunyai Akta Francais 1998 dan mempunyai pelan pembangunan yang inklusif bagi menyokong industri ini," katanya pada sesi forum perniagaan Malaysia-Vietnam sempena Pameran Francais dan Runcit Antarabangsa Vietnam kesembilan di sini, hari ini.

Hamzah berkata, tidak banyak negara di dunia yang mempunyai perundangan mengawal selia industri francais seperti Malaysia.

Justeru katanya, Malaysia bersedia berkongsi pengalaman dalam membangunkan industri francais kepada Vietnam sekiranya diperlukan.

"Kerjasama antara kedua-dua negara akan lebih mudah sekiranya Vietnam juga mempunyai perundangan sama bagi berkongsi pasaran ASEAN yang besar," katanya.

Malah, Malaysia mempunyai agensi khusus iaitu Perbadanan Nasional Berhad (PNS) yang membantu dari segi khidmat nasihat dan pengembangan syarikat francais, katanya.

Sempena pameran itu, Hamzah turut merasmikan Pavilion Francais Malaysia yang turut disertai 12 jenama francais tempatan iaitu Global Art, Poney, House of Healin, Place2stay, Old Town White Coffee, The Manhattan Fish Market, Dapur Penyet, Bangi Kopitiam, Constant, Ibu Sayang, Q-dees dan GTC.

Pada masa ini tujuh jenama francais Malaysia sudah berada di Vietnam iaitu Bonia, Gintell, Global Art, U C Mas, Tomei, Lovely Lace dan GTC dengan jumlah kedai sebanyak 143.

Bagaimanapun, belum ada jenama Vietnam beroperasi di Malaysia setakat ini.

Hadir sama pada misi perdagangan itu adalah Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh; Pengarah Urusan PNS, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin; Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Shamsiah Kamaruddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Datuk Zahrah Abdul Wahab Fenner.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X