Sabtu, 3 Jun 2017 | 5:23pm

Penyamun guna pistol palsu diberkas

KAJANG: Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki terbabit kes samun di sebuah restoran makanan segera di Bandar Seri Putra, Bangi, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, berkata suspek ditahan sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Kajang dan Balai Polis Bangi di Kawasan Perindustrian Arab Malaysian, Nilai.

"Suspek disyaki menyamun dengan menggunakan satu objek menyerupai pistol dan melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Myvi pada kira-kira jam 6 pagi tadi.

"Melalui rakaman CCTV di tempat kejadian, ia menunjukkan pergerakan dan perbuatan suspek yang memakai topi keledar bagi mengelakkan diri daripada dikenali, mengacukan objek menyerupai pistol kepada mangsa, dan dari situ kami siasat dan kumpul maklumat sehingga kami berjaya menahan suspek, katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Othman berkata, hasil soal siasat, suspek berusia 31 tahun mengaku melakukan jenayah samun bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Berita Harian X