Isnin, 5 Jun 2017 | 1:12pm
AMIR Zafrie Mahmudsah, 16, mencuba songkok pada program Membeli-belah #seindahramadan di Mydin Wholesale Hypermarket USJ1. - Foto Asyraf Hamzah
KAKITANGAN KESAS Sdn Bhd, Mazlinda Md Dzin (kanan) membantu Wan Haziq Iman Wan Nazim, 9, (tengah) dan Mohd Rashid Ismail, 10, memilih songkok pada program Membeli-belah #seindahramadan di Mydin Wholesale Hypermarket USJ1. - Foto Asyraf Hamzah

KESAS kongsi keceriaan Aidilfitri dengan anak yatim

ZAINUDIN (berdiri, kiri) dan Eksekutif Perhubungan Awam KESAS Sdn Bhd, Khairani Mohamed Salleh (berdiri, dua dari kiri) bergambar bersama anak yatim dari Rumah Haluan Darul Miftah As Saa'dah, Shah Alam pada program Membeli-belah #seindahramadan di Mydin Wholesale Hypermarket USJ1. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Lebuhraya Shah Alam (KESAS) berkongsi keceriaan Aidilfitri bersama 31 anak yatim dengan membeli persiapan baju raya di pusat beli-belah Mydin Wholesale Hypermarket USJ1, hari ini.

Program Membeli-belah #seindahramadan bersama anak yatim dari Rumah Haluan Darul Miftah As Saa'dah, Shah Alam itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) KESAS.

Penolong Pengarah Keselamatan Trafik KESAS, Zainudin Mohamed Noah, berkata program sebegitu perlu bagi berkongsi kegembiraan dan kemeriahan Syawal.

"Program ini adalah antara usaha berkongsi dengan masyarakat supaya mereka sedar masih ada golongan kurang bernasib baik yang memerlukan kegembiraan, malah masih ramai dalam kalangan mereka yang kurang diberi perhatian dan memerlukan sumbangan.

"Kami bantu anak-anak yatim ini membeli persiapan raya seperti set baju Melayu atau baju kurung bernilai RM100 setiap seorang dan mereka dibawa ke pusat beli-belah ini supaya dapat memilih sendiri baju yang diinginkan," katanya.

Zainudin berkata, setiap anak-anak yatim itu juga akan menerima duit raya sebanyak RM50 seorang, yang akan disampaikan Pengerusi KESAS, Datuk Ir Azmi Mat Nor pada majlis berbuka puasa yang diadakan 8 Jun ini.

Berita Harian X