Selasa, 6 Jun 2017 | 12:26pm

Bakal jadi bapa, Adi dekat diri dengan agama


VOKALIS kumpulan 6ixth Sense, Adi. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Debaran menantikan kelahiran anak sulung banyak membantu vokalis kumpulan 6ixth Sense, Adi atau nama penuhnya Adi Priyo Sambodo, menjadi lelaki lebih matang dan dekat dengan Yang Maha Kuasa.

Adi, 34, berkata selain mengukuhkan dalaman diri sendiri, beliau turut memberikan sokongan moral buat isterinya, Natasyah Ahmad, 23, yang kini sarat hamil dan dijangka bersalin pada pertengahan bulan depan.

"Isteri saya banyak mengkaji kaedah bersalin dan dia menjadi bimbang selepas menonton banyak video berkaitan di laman sosial, namun saya memberikan kata-kata semangat buatnya. Saya berharap isteri dan bayi yang bakal lahir itu sihat tanpa sebarang komplikasi.

"Bakal bergelar bapa tidak lama lagi, saat genting sebegini banyak mengajar saya erti kesabaran. Bagi memberi semangat dan dorongan kepada isteri, saya perlu mengukuhkan dalaman dengan mendekatkan diri kepada agama," katanya kepada BH Online.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 di Jember, Jawa Timur, Indonesia.


ADI dan Natasyah mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015 di Jember, Jawa Timur, Indonesia. - Foto Instagram

Dalam perkembangan lain, Adi memaklumkan beliau baru saja merakamkan lagu duet bersama artis popular, Ayda Jebat, untuk dijadikan runut bunyi filem Pinjamkan Hatiku arahan Osman Ali.

"Biarpun julung kali digandingkan bersama Ayda, namun proses rakaman lagu duet itu berjalan lancar. Saya sendiri mengagumi bakatnya sebagai pelakon dan penyanyi. Lagu itu dijangka dilancarkan selepas Aidilfitri nanti," katanya.

Selain itu, kumpulan yang dianggotainya, 6ixth Sense dan band anak didik beliau, Manusia Putih, juga tampil dengan lagu raya.


ADI bersama isterinya, Natasyah Ahmad. - Foto Saifullizan Tamadi

41 dibaca
Berita Harian X