Selasa, 6 Jun 2017 | 2:11pm

TH agih zakat lebih RM900,000 kepada asnaf

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) mengagihkan sebanyak RM975,000 zakat kepada asnaf fakir miskin di 14 negeri seluruh negara dalam Program Ehsan TH tahun ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah, berkata pemberian zakat itu diagihkan kepada penerima yang disasarkan seramai 1,941 asnaf fakir miskin seluruh negara.

Katanya, jumlah zakat yang diberi kepada penerima bagi bulan Ramadan ini bergantung kepada jumlah pembayaran deposit oleh rakyat di negeri masing-masing.

"Penerima sumbangan zakat melalui program ini terdiri daripada warga emas, ibu dan bapa tunggal serta orang kelainan upaya (OKU) yang miskin tegar.

"Program ini adalah platform terbaik untuk kami mendekati komuniti yang memerlukan bantuan terutama pada bulan Ramadan ini, selain dapat mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat," katanya di sini.

JOHAN (kiri) menyampaikan sumbangan pada Majlis Sumbangan Zakat Program Ehsan peringkat Negeri Selangor 2017. - Foto Sairien Nafis

Beliau berkata demikian ketika Majlis Sumbangan Zakat Program Ehsan peringkat Negeri Selangor 2017 di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, di sini.

Pada majlis berkenaan, sebanyak RM100,000 bantuan zakat di agihkan kepada 200 asnaf di negeri Selangor dengan masing-masing menerima bantuan sebanyak RM500.

Johan berkata, program itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bersempena bulan Ramadan, bertujuan membantu golongan memerlukan di seluruh negara.

Sementara itu, TH juga turut melaksanakan Program Ziarah Kasih Ramadan Al Mubarak 2017 yang dikendalikan oleh Yayasan TH di 50 lokasi seluruh negara bersempena Ramadan tahun ini.

Berita Harian X