Selasa, 6 Jun 2017 | 9:18pm
PENGARAH Urusan Holiday Villa, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah. - Foto Faris Zainuldin

RM30,000 untuk baju raya anak yatim

KOTA BHARU: Seramai 200 anak yatim dan pelajar tahfiz diraikan dalam majlis berbuka puasa di hotel Holiday Villa & Suites Kota Bharu (HVKB), di sini.

Majlis itu dianjurkan oleh Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) Perhubungan Negeri Kelantan bersama Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA).

Pengerusi Yayasan PEKEMA, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah, berkata iftar Ramadan itu bertujuan untuk meraikan mereka yang memerlukan, termasuk memberi sumbangan sempena sambutan Syawal.

"Kita memberi peluang anak yatim dari keluarga yang kurang bernasib baik serta pelajar tahfiz ini menikmati makanan hotel.

"Esok pihak kami akan membawa 1,000 anak yatim dan murid tahfiz sekitar Kuala Lumpur dan Selangor untuk majlis sama," katanya.

Dalam program yang sama beliau serta isterinya, Datuk Bi Samihah Mohd Salleh, yang juga Pengerusi LKPIM turut menyampaikan duit raya.

Selain anjuran berbuka puasa, Yayasan PEKEMA dan LKPIM turut menyediakan pakaian raya.

"Lebih RM30,000 peruntukan disediakan untuk tujuan itu dan kami memilih mereka yang kurang berkemampuan untuk membeli-belah di pasar raya yang dipilih.

"Untuk Kelantan, seramai 300 penerima sudah dipilih dan mereka ini akan kami bawa membeli kelengkapan hari raya dalam masa terdekat," katanya.

Berita Harian X