Rabu, 27 Ogos 2014 | 3:09pm

Pendapatan Axiata naik kepada RM9.2 bilion separuh pertama 2014

[email protected]

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd mencatat pendapatan RM9.2 bilion pada separuh pertama tahun ini, meningkat 1.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, untung bersih merosot 10.8 peratus kepada RM1.122 bilion daripada RM1.259 bilion sebelumnya.

Mengikut Axiata, dengan portfolio aset yang pelbagai, syarikat telekomunikasi itu menunjukkan daya tahan yang membanggakan walaupun berdepan kesan jangka pendek sederhana susulan integrasi Axis dan kerugian pertukaran asing akibat kelemahan rupiah Indonesia.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Axiata, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim, berkata beliau gembira dengan prestasi pertumbuhan di semua pasaran baharu muncul.

Beliau berkata, prestasi kukuh dicatatkan syarikat operasinya seperti Dialog, Robi dan Smart.

Melangkah ke hadapan, naik turun mata wang masih menimbulkan cabaran kepada syarikat itu.

Namun, katanya, Axiata akan terus gigih melaksanakan strategi untuk mencatatkan pertumbuhan jangka panjang yang kukuh.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan keputusan kewangan suku kedua Axiata di sini hari ini.

Axiata mengumumkan dividen interim lapan sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.

Berita Harian X