Rabu, 7 Jun 2017 | 9:47pm

Malaysia mampu juara: Tunku Imran


PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar (tengah) ketika sidang media selepas mesyuarat pengurus pasukan untuk Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di Wisma MOM. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyuarakan keyakinan keupayaan Malaysia mengulangi pencapaian edisi 2001 untuk muncul juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) di laman sendiri, Ogos ini.

Rumusan itu dibuat presidennya Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, selepas melihat senarai awal nama 558 atlet yang diserahkan oleh 30 persatuan sukan di bawah naungannya.

"Selepas bertemu dengan wakil 30 persatuan sukan kebangsaan yang kelihatan begitu yakin, saya percaya kita mempunyai sebuah kontinjen yang bagus.

"Hampir 95 peratus senarai nama sudah diserahkan, cuma ada beberapa persatuan meminta masa untuk melengkapkan senarai seperti sepak takraw dan badminton.

"Boleh saya simpulkan mereka menyenaraikan atlet terbaik," katanya dalam sidang media mesyuarat jawatankuasa pemilihan akhir Sukan SEA 2017, di sini hari ini.

Daripada 558 atlet berkenaan, 319 daripadanya atlet lelaki manakala 239 lagi wanita. Sementara itu, seramai 200 pegawai turut mengambil bahagian pada temasya edisi ke-29 kali ini.

Persatuan yang diberi lanjutan masa melengkapkan senarai nama atlet ialah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Persatuan Sepak Takraw (PSM).

Tunku Imran menegaskan, pihaknya hanya memberi tempoh seminggu dari sekarang untuk persatuan itu melengkapkan senarai atlet mereka.

Beliau turut mengingatkan setiap atlet berhati-hati menjalani persiapan ke Sukan SEA bagi mengelak kecederaan.

Berita Harian X