Khamis, 8 Jun 2017 | 1:20pm

Suspek tikam bekas teman wanita direman

LELAKI berusia 23 tahun yang menikam bekas teman wanitanya Hazwani Ismail, 23, di tepi jalan Taman Serindit, Jalan Langgar, Isnin lalu di reman bermula hari ini sehingga 14 Jun di Mahkamah Alor Setar. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Lelaki yang menikam bekas teman wanitanya di tepi jalan Taman Serindit, Jalan Langgar, dekat sini, Isnin lalu hari ini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Rabu ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata suspek berusia 23 tahun itu ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan kecederaan parah.

Semalam polis menahan suspek di hadapan sebuah hotel di Pekan Rabu, dekat sini lalu selepas kira-kira 48 jam menyembunyikan diri sejurus menikam bekas teman wanitanya itu, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Pada Isnin lalu, Hazwani Ismail, 23, cedera ditikam empat kali di bahagian perut oleh bekas teman lelakinya dipercayai akibat tidak berpuas hati kerana hubungan mereka sudah berakhir.

Hazwani bagaimanapun selamat menjalani pembedahan kelmarin dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Susulan kejadian itu, suspek ditahan polis semalam di hadapan sebuah hotel di Pekan Rabu, dekat sini lalu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Berita Harian X