Khamis, 8 Jun 2017 | 4:46pm

Pemegang polisi perlu maklumkan keluarga

KETUA Pegawai Eksekutif Maybank Ageas Kamaludin Ahmad. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
KETUA Pegawai Eksekutif Maybank Ageas Kamaludin Ahmad. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Maybank Ageas Holdings Bhd, syarikat induk Etiqa Insurance Bhd, Etiqa Takaful Bhd dan Etiqa Insurance Pte Ltd (Singapore), menggesa individu memaklumkan keluarga mereka mengenai polisi insurans hayat dan sijil takaful keluarga bagi memudahkan tuntutan kelak.

Ini termasuk memaklumkan kepada syarikat insurans atau pengendali takaful mengenai waris termasuk nama, mengemas kini butiran terperinci dan nombor kad pengenalan orang hubungan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Ageas Kamaludin Ahmad, berkata di Etiqa sendiri, ada polisi yang hilang atau dilupai bernilai kira-kira RM13 juta yang belum dituntut.

"Ramai orang tidak menyedari yang polisi/sijil mereka telah matang. Justeru, mereka tidak menuntut manfaat dan wang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut kaji selidik Persatuan Insurans Hayat Malaysia dan Persatuan Takaful Malaysia baru-baru ini, kira-kira RM80 juta daripada lebih 110,000 polisi hayat dan sijil takaful keluarga matang dituntut oleh pemegang polisi/sijil atau waris mereka pada 2016.

Kamaludin berkata, usaha sudah dibuat untuk menghubungi waris tetapi sesetengah mereka tidak mengemas kini maklumat peribadi sehingga sukar untuk berhubung dengan waris.

"Bagaimanapun, kami percaya kami boleh melakukan sesuatu yang berbeza kerana kami bersungguh-sungguh membayar tuntutan.

"Kami mahu menghapuskan salah tanggapan yang penginsurans dan pengendali takaful hanya mahu mengutip premium dan sumbangan tetapi enggan membayar tuntutan," katanya. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X