Jumaat, 9 Jun 2017 | 7:41am

Grasse tak sabar rampas kedudukan Bolt


PELARI pecut Kanada, Andre De Grasse. -Foto AFP

ROM: Pelari pecut sensasi Kanada, Andre De Grasse, akan terus memberi saingan terhadap Usain Bolt, namun pada masa sama tidak sabar menantikan persaraan legenda Jamaica itu daripada sukan olahraga.

Bolt, pemenang lapan pingat emas di Sukan Olimpik, membuat penampilan musim pertama di Czech Golden Spike di Ostrava bulan ini dan akan bersara daripada sukan itu pada Kejohanan Dunia di London, Ogos ini.

"Amat menarik buat saya untuk menjadi sebahagian daripada generasi muda yang muncul selepas Usain Bolt," kata De Grasse selepas meraih kemenangan dalam acara 200 meter (m) di Diamond League, di sini, dengan catatan 20.01 saat.

Catatannya itu mengatasi naib juara dari Perancis Christophe Lemaitre (20.29s) dan pelari Amerika Syarikat, Ameer Webb (20.33s).

De Grasse mencipta sejarah di Sukan Olimpik Rio tahun lalu apabila muncul selaku pelari pecut Kanada pertama meraih tiga pingat di satu temasya Olimpik iaitu pingat perak dalam acara 200m di belakang Bolt dan gangsa dalam acara 100m serta 4x100m berganti-ganti. - AFP

Berita Harian X