Jumaat, 9 Jun 2017 | 11:41am
SKUAD hoki wanita negara menjalani latihan di Stadium Tun Razak sebelum ke saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Brussels bermula 21 Jun ini.- Foto Aziah Azmee

MHC umum senarai pemain ke WHL Belgium

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), mengumumkan senarai rasmi 18 pemain wanita yang akan mengibarkan cabaran negara pada kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di Brussels, Belgium.

Ia skuad yang hampir sama dipertaruhkan oleh ketua jurulatih Dhaarma Raj Abdullah pada saingan Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Kuala Lumpur, Januari lalu.

Dalam senarai 18 pemain ini, seramai tiga muka baharu berjaya menyelitkan diri iaitu Norbaini Hashim, Nur Syafiqah Mohd Zain dan Nur Zafirah Aziz. Seramai 22 pemain dipanggil untuk menjalani latihan pusat sebelum ini.

Dalam masa sama, empat pemain yang gagal memikat hati Dhaarma adalah Surizan Awang Noh, Fatin Naimah Zaki, Nurul Safiqah Mat Isa dan Rabiatul Adawiyah Mohamed.

"Ia satu keputusan sukar untuk saya mengetepikan tiga pemain yang berada dalam pasukan ketika Pusingan Kedua WHL. Malah saya terpaksa menunggu sehingga semalam untuk memutuskan baki dua pemain.

"Akhirnya saya membuat keputusan untuk memilih dua penyerang muda, Nur Zafirah dan Nuraslinda Said untuk dibawa ke Brussels berbanding empat pemain yang diketepikan," kata Dhaarma Raj di sini, sebentar tadi.

Kempen Separuh Akhir WHL di Brussels bermula pada 21 Jun sehingga 2 Julai ini dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Australia, New Zealand, Sepanyol dan Belgium selaku tuan rumah.

Hanya empat pasukan daripada setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir sekali gus mencerahkan peluang ke Piala Dunia 2018 Wanita di London.

Berikut senarai lengkap 18 pemain yang bakal membawa cabaran negara pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di Brussels, Belgium:

Penjaga Gol - Farah Ayuni Yahya, Mas Huzaimah Md Aziz

Pertahanan - Juliani Muhamad Din, Siti Noor Amarina Ruhani, Raja Norsharina Raja Shabuddin, Nuraini Rashid, Nur Shafiqah Mohd Zain

Perancang - Nor Hasliza Ali, Fatin Shafika Mohd Sukri, Siti Rahmah Othman, Wan Norfaiezah Md Sauiti, Norbaini Hashim

Penyerang - Nurul Nabihah Mansur, Norazlin Sumantri, Hanis Nadiah Onn, Fazilla Sylvester Silin, Nuraslinda Said, Nur Zafirah Aziz

Berita Harian X