Jumaat, 9 Jun 2017 | 4:07pm

TMJ tanggung kos bedah anak pemain Perlis

PEMAIN tengah Perlis, Mohd Alafi Mahmud (kiri) sedang melihat anak keduanya, Adra dipangku isterinya, Intan Nur Shafinas Anuar (kanan) yang bakal menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) esok.
PEMAIN tengah Perlis, Mohd Alafi Mahmud (kiri) sedang melihat anak keduanya, Adra dipangku isterinya, Intan Nur Shafinas Anuar (kanan) yang bakal menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) esok.

KUALA LUMPUR: Pemain Perlis, Mohd Alafi Mahmud mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana menanggung kos pembedahan anaknya, Adra Medina yang menghadapi masalah saluran paru-paru di Institut Jantung Negara (IJN), esok.

Menurut pemain tengah berusia 32 tahun itu, dia sekeluarga tidak menyangka dan terharu dengan keprihatinan Tunku Mahkota Johor itu selepas mendapat tahu anak keduanya yang berumur dua bulan itu perlu menjalani pembedahan segera.

"Sesungguhnya jasa baginda hanya Allah yang dapat membalasnya dan ia membuktikan TMJ seorang Presiden FAM dan anak Raja berjiwa rakyat.

"Saya juga berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan keselamatan dan kejayaan pembedahan berkenaan," katanya ketika ditemui BH di IJN, sebentar tadi.

Mengulas mengenai penyakit anaknya itu, Mohd Alafi berkata, dia dan isterinya, Intan Nur Shafinas Anuar, 34, hanya tahu mengenai penyakit Adra selepas membawanya ke Hospital Colombia Asia, Setapak, Kuala Lumpur, untuk mendapatkan suntikan imunisasi ketika berusia 44 hari selepas dilahirkan, 12 April lalu.

Mohd Alafi berkata, doktor yang melakukan pemeriksaan kemudian memberitahu Adra mungkin mempunyai masalah jantung kerana degupannya laju daripada bayi normal.

"Doktor kemudian meminta saya membawa Adra ke Hospital Pakar KPJ Tawakkal (Tawakkal) untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

"Doktor pakar Tawakkal kemudiannya mengesahkan Adra mempunyai masalah paru-paru dan jantung berlubang, sebelum meminta saya merujuk kesnya ke IJN.

"Doktor pakar jantung IJN mengesahkan bahawa anak saya perlu menjalani pembedahan bagi menjahit saluran paru-parunya secepat mungkin kerana jika lewat nyawa Adra mungkin dalam bahaya," katanya.

Menurutnya, apabila pulih barulah Adra perlu dibedah sekali lagi bagi merawat penyakit jantung berlubang dihadapinya.

"Doktor juga memaklumkan dari segi mata kasar Adra memang nampak sihat seperti bayi lain, namun sebenarnya dia penat dan sukar bernafas kerana masalah paru-paru dan jantung dihadapinya," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X