Sabtu, 10 Jun 2017 | 2:19pm
GAMBAR fail, pemain Malaysia, Nuraini Rashid (kiri) diasak pemain Kazakhstan, Gulim Idirissova di Kejohanan Liga Hoki Dunia Wanita 2017 di Stadium Hoki Tun Razak pada Januari lalu. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

Nuraini jadi senjata negara di WHL Belgium

KUALA LUMPUR: Pengendali pasukan hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah, percaya Nuraini Rashid boleh menjadi senjata rahsia skuad Malaysia Tigress apabila memulakan kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia (WHL) di Brussels, Belgium 21 Jun ini.

Ia tidak mustahil andai mengambil kira ketajaman pukulan sudut penalti Nuraini sepanjang tahun ini.

Malah dengan faktor namanya yang masih asing di pentas antarabangsa mungkin menyaksikan lawan Malaysia pada kempen terbabit sukar membaca bola pukulannya.

"Saya memang mengharapkan sentuhan Nuraini menjadi kali ini kerana kita sudah mengubah teknik pukulan sudut penaltinya kepada cara flick zaman dulu.

"Dalam era moden hoki masa kini tak ramai yang menggunakan teknik flick lama ini yang sinonim dengan bekas pakar flick nombor satu negara S Kuhan.

"Nampak berkesan dan sukar untuk penjaga gol membaca bola pukulannya, tetapi dari segi kepantasan bola itu masih boleh dipertingkatkan kerana ada kalanya bola percubaannya dapat diselamatkan penjaga gol," kata Dhaarma Raj.

Nuraini antara nadi utama skuad Malaysia Tigress pada tahun ini terutama ketika membantu pasukan muncul naib juara aksi Pusingan Kedua WHL di sini, Januari lalu dengan menghasilkan lima gol menerusi gerakan pukulan sudut penalti.

Pertahanan berusia 28 tahun itu bagaimanapun tidak harus tertekan apabila Dhaarma mengingatkan peminat hoki tempatan untuk tidak terlalu meletakkan jangkaan yang tinggi ke atasnya.

"Jika di Sukan SEA kita boleh jangkakan dia menjadi mesin gol tetapi di WHL untuk mendapat pukulan sudut penalti bukannya senang. Mungkin nak dapat satu atau dua pukulan itu pun belum tentu," katanya.

Pada saingan kali ini, Dharma Raj menyenaraikan semula pemain berpengalaman Norbaini Hashim yang pulih daripada kecederaan, selain pemain pertahanan Syafiqah Mohd Zain untuk mengisi kekosongan Siti Shahidah Saad yang bersara, serta Nur Zafirah Aziz yang mengambil tempat Surizan Awang Noh di bahagian serangan.

Dharma Raj berkata, fokusnya adalah untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu kemenangan Kumpulan B menentang Belgium atau Sepanyol, selain mempamerkan corak permainan bertahan menentang Australia dan New Zealand.

Berita Harian X