Sabtu, 10 Jun 2017 | 3:56pm

BERNAS rai pelajar miskin, anak yatim

ABDUL Rahman (dua dari kanan) beramah mesra bersama penerima sumbangan sempena Program IKHLAS Ramadhan anjuran BERNAS. - Foto Nurul Nadira Shaari
ABDUL Rahman (dua dari kanan) beramah mesra bersama penerima sumbangan sempena Program IKHLAS Ramadhan anjuran BERNAS. - Foto Nurul Nadira Shaari

KUANTAN: Program tanggung jawab sosial korporat (CSR) diteruskan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dengan membeli kelengkapan menyambut Hari Raya kepada 150 pelajar kurang berkemampuan dan anak yatim dari Kemaman, Terengganu.

Ketua Bahagian Perhubungan Pihak Berkepentingan BERNAS, Abdul Rahman Mohd Nasir, berkata program CSR dinamakan Program Ikhlas Ramadan BERNAS itu diadakan bagi mendekati golongan kurang bernasib baik.

"Ini adalah acara tahunan kami dan mereka yang kita pilih adalah dari tiga sekolah iaitu 75 murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Puteh, 50 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Puteh dan 25 penghuni Rumah Anak-anak Yatim Al-Hijrah... semuanya dari Kemaman.

"Mereka menerima bantuan bernilai RM300 untuk membeli pakaian bagi sambutan Hari Raya dan kita juga berikan sedikit duit raya RM20 setiap mereka," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Rahman bersama kakitangan BERNAS menemani 150 pelajar itu ke pasaraya besar di bandar ini bagi memilih pakaian masing-masing.

  Sementara itu, pelajar SK Ayer Puteh, Muhammad Noor Rafie Hidayat Azmi, 11, berkata, dia tidak menyangka akan dapat memilih baju raya di sebuah pasaraya besar seperti ini.

  "Biasanya persiapan untuk sambutan hari raya, kami beli di kedai biasa sahaja dan dua hari nak raya baru mak bawa pegi beli...tapi kali ini dapat beli baju raya lebih awal dengan kawan-kawan...rasa bersyukur dan gembira," katanya.

Bagi Ahmad Fakri Hami Zulkifli, 17, dan adiknya Ahmad Jamal Sharif Zulkifli, 14 yang tinggal di Rumah Anak-anak Yatim Al-Hijrah, Kemaman pula berkata peluang itu amat bermakna buat mereka kerana dapat menyambut Hari Raya dengan lebih sempurna.

Ahmad Fakri berkata, bantuan diberikan BERNAS dapat meringankan beban keluarganya di Manir, Terengganu dalam menyediakan persiapan menjelang Aldilfitri nanti.

Seorang lagi pelajar SK Ayer Puteh, Haizat Zuhairel Nujam, 12, yang kehilangan ayah akibat serangan jantung pada hari pertama dia memasuki darjah tiga juga teruja dengan peluang yang diberikan itu.

Katanya, ia adalah kali pertama dia memperolehi peluang seumpama itu dan begitu gembira dapat mencari pakaian raya sendiri tanpa menyusahkan ibunya yang bekerja di ladang.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X