Sabtu, 10 Jun 2017 | 8:11pm

Media Prima rai anak yatim


RAYA Erom (kiri) diiringi Kamal Khalid (kanan) ketika menyampaikan sumbangan Duit Raya kepada sebahagian anak-anak yatim dari Yayasan Kebajikan Suria pada Majlis Berbuka Puasa Media Prima Berhad dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia bersama ahli komuniti Kampung Likas, di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Media Prima Berhad (MPB) meraikan 159 anak yatim dan kurang berkemampuan pada majlis berbuka puasa di Kampung Likas di sini, malam ini.

Program anjuran bersama MPB dan Yayasan 1Suria itu dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan isteri, Datin Seri Raya Erom yang juga Pengasas Yayasan Kebajikan Suria.

Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Kamal Khalid.

Pada majlis itu, Raya dan Kamal menyampaikan sumbangan Aidilfitri daripada Yayasan 1Suria dan MPB kepada yang diraikan.

Tiga masjid dan sebuah surau serta empat rumah anak yatim dan dua tahfiz menerima sumbangan berkenaan.

Terdahulu, Raya merakamkan penghargaan kepada MPB yang turut membantu memberi sumbangan kepada anak yatim dan kurang berkemampuan di negeri ini.

"Kami berterima kasih dengan sokongan MPB. Usaha ini menyuntik semangat kepada saya untuk terus memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Majlis berbuka puasa yang diadakan di kediaman Salleh itu turut dihadiri komuniti Kampung Likas.

Program itu adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) MPB kepada komuniti di Sabah.

Berita Harian X