Isnin, 12 Jun 2017 | 6:58am

May bawa seteru ke Kabinet baharu

gn4id:21107467

LONDON: Perdana Menteri Britain, Theresa May, melantik semula kebanyakan menteri semalam, tetapi membawa penyokong Brexit dan saingan parti ke dalam kerajaan untuk cuba menyatukan semula Konservatif selepas pilihan raya melemahkan kedudukannya, beberapa hari sebelum rundingan Brexit bermula.

Pemimpin berusia 69 tahun itu berkata, beliau berusaha mendapatkan pengalaman 'keseluruhan Parti Konservatif apabila melantik Michael Gove, yang berbalah dengan May ketika beliau masih menjadi Setiausaha Dalam Negeri, manakala Gove berkhidmat sebagai Menteri Pertanian.

Ia tindakan mengejutkan kerana Gove dipecat sebagai Menteri Kehakiman oleh May tahun lalu selepas usahanya menjadi pemimpin parti itu memaksa Menteri Luar, Boris Johnson, menarik diri, susulan tuduhan khianat.

Namun selepas kehilangan majoriti di Parlimen pada pilihan raya Khamis lalu, May perlu menyatukan semula parti itu bukan sahaja untuk menyokongnya dalam rundingan Brexit tetapi juga mencapai perjanjian dengan parti Ireland Utara yang membolehkan beliau terus memegang kuasa.

"Apa yang saya lakukan ketika ini sebenarnya adalah meneruskan tugas yang ada. Saya fikir itu yang penting, saya rasa itu yang dijangkakan rakyat.

"Mereka mahu melihat kerajaan menyediakan sesuatu yang pasti dan kestabilan," katanya.

Beliau berkata, apa yang dilakukannya hari ini menyaksikan anggota parti menerima jemputan untuk berada dalam Kabinetnya. - Reuters

Berita Harian X