Isnin, 12 Jun 2017 | 11:44am

Pemandu treler direman 4 hari


PEMANDU treler (tiga dari kanan) ditahan reman empat hari, mulai hari ini. - Foto Abnor Hamizam

BAHAU: Pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan meragut lapan nyawa di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, Jempol, petang semalam, ditahan reman empat hari mulai hari ini.

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali, selepas Pegawai Penyiasat Trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, Inspektor Nurul Hafiza Mohd Marsah, membuat permohonan di Mahkamah Majistret, di sini.

Lelaki terbabit yang memakai baju lokap tiba di Mahkamah Majistret pada jam 9.10 pagi dengan trak polis bersama tahanan lain.

Tahanan reman itu membolehkan polis menyiasat lelaki itu mengikut Seksyen­ 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.30 petang semalam, treler yang dipandu lelaki berusia 44 tahun itu, terbabit dalam kemalangan dengan tiga buah kenderaan lain iaitu Perodua Myvi, Proton Exora dan Toyota Vios.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu dan lima penumpang Proton Exora serta pemandu dan penumpang Perodua Myvi, terkorban.

Pemandu treler itu yang dalam perjalanan dari arah Keratong, Pahang, cuba memotong sebuah motosikal tetapi gagal, lalu terbabas ke lorong bertentangan.

Perodua Myvi sempat mengelak, tetapi berlanggar dengan Toyota Vios, manakala Proton Exora, bertembung dan dihempap treler itu.

Berita Harian X