Isnin, 12 Jun 2017 | 3:10pm

Cukai pelancongan bukan beban: Idris Haron


KETUA UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Rasul Azli Samad

AYER KEROH: Pengenalan cukai pelancongan tidak harus dilihat membebankan, sebaliknya ia berupaya meningkatkan mutu perkhidmatan sektor pelancongan negara secara keseluruhan, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Melaka menyambut baik usaha dibuat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi pelaksanaan cukai itu seperti yang turut dilaksanakan di kebanyakan negara lain.

"Kita perlu lihat dari sudut yang positif susulan inisiatif kementerian melalui menterinya (Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz) yang bersungguh-sungguh mempromosikan Malaysia, di mana Melaka termasuk di dalamnya (promosi).

"Pelancong yang datang semestinya mempunyai sejumlah peruntukan untuk mengembara, termasuk soal menginap di sini, " katanya selepas perhimpunan bulanan kerajaan negeri anjuran Telekom Malaysia Berhad (TM) di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mohamed Nazri sebelum ini mengumumkan kadar cukai pelancongan berkuat kuasa pada 1 Ogos depan, memerlukan pelanggan membayar sehingga RM20 bagi penginapan sebuah bilik hotel semalam.

Ia selaras dengan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 yang dibentangkan Mohamed Nazri, diluluskan dengan undian majoriti.

Mengulas mengenai cukai warisan yang diperkenalkan kerajaan Melaka lebih awal sebelum ini, Idris berkata ia tidak menjejaskan kehadiran pelancong ke negeri ini secara keseluruhan.

"Ketika peringkat awal pengenalan cukai warisan, kita menjangkakan menerima kesannya, sebaliknya mereka (pelancong) mengalu-alukan kerana mahu bangunan warisan terus dipelihara, " katanya.

Berita Harian X