Isnin, 12 Jun 2017 | 4:49pm

Suami isteri dikebumi hari ini

KAKITANGAN Hospital Jempol mengusung jenazah, Osman Mohamed Taib, 31 untuk dibawa pulang untuk urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kg Sungai Merab. - Foto Iqmal Haqim Rosman

BANDAR SERI JEMPOL: Jenazah pasangan suami isteri yang terbabit kemalangan empat kenderaan di Kilometer 25, Jalan Bahau-Keratong, di sini, petang semalam, dikebumikan hari ini.

Jenazah pemandu Perodua Myvi, Osman Mohamed Taip, 31, akan dikebumikan di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang, Selangor, manakala isterinya, Rosniza Othman, 32, di Endau, Johor.

Jenazah sudah dibawa ke lokasi masing-masing dari Hospital Jempol kira-kira jam 2 petang tadi.

Anak tunggal mereka, Muhammad Alifthaqif, 3, patah tangan dan kaki kiri akibat kemalangan itu. Kanak-kanak itu kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Enam sekeluarga turut maut dalam kemalangan kira-kira jam 2.20 petang itu.

Wan Mohd Fauzi Wan Ibrahim, 51 dan isteri, Masnoraida M Yusoff, 45 serta anak, Wan Muhammad Muhaimmin, 22; Wan Nor Athira, 18; Wan Mohd Ammar Haziq, 13 dan Wan Nur Aiesya, 7, rentung dalam kereta Proton Exora yang dinaiki mereka.

 

 

Berita Harian X