Isnin, 12 Jun 2017 | 5:35pm

Behe senjata baharu NS


DATUK Seri Mohamad Hasan menyampaikan dividen kepada seorang penerima sempena Majlis Penyampaian Dividen RISDA Rancangan Tanam Baharu Berkelompok (RTBB) peringkat Negeri Sembilan 2017, hari ini.- Foto BERNAMA

SEREMBAN: Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) menambah kekuatan barisan serangan dengan mengikat bekas penyerang Sabah, Jonathan Béhé.

Menteri Besar merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengesahkan kedudukan pemain itu ,yang akan membantu skuad Hobin Jang Hobin mengharungi baki saingan Liga Perdana serta Piala Malaysia, yang kembali bersambung 30 Jun ini.

Langkah mendapatkan khidmat penyerang berasal dari Perancis berusia 28 tahun itu dilihat mampu memantapkan lagi jentera serangan skuad bimbingan Mohd Asri Ninggal.

"Keputusan itu dicapai secara sebulat suara oleh jawatankuasa pengurusan pasukan iaitu pengurus, ketua jurulatih, pengarah teknikal, kapten pasukan, pemain dan penyokong.

"Kita sedar terdapat kelemahan di bahagian serangan. Ia berpandukan kepada persembahan dalam beberapa aksi sebelum ini termasuk ketika menentang Pahang, di separuh akhir Piala FA.

"Dalam aksi liga, kita seri enam kali daripada 13 perlawanan. Jadi, kita perlu melakukan sesuatu pada jendela perpindahan ini bagi memastikan pasukan mendapat rentak terbaik.

"Nama Behe dicadangkan dan kami sebulat suara bersetuju menggunakan khidmatnya," katanya selepas Majlis Penyampaian Dividen Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), di sini, hari ini.

Behe adalah bekas pemain Warriors FC yang beraksi dalam Liga Singapura sebelum menyertai Sabah, awal musim ini.

Beliau diturunkan dalam aksi persahabatan Negeri Sembilan menentang PKNS FC di Paroi pada 7 Jun lalu dan menjaringkan dua gol.

Behe dilihat pilihan terbaik untuk bergandingan dengan penjaring terbanyak skuad itu, Bruno Suzuki, bagi mengetuai jentera serangan.

Sebelum ini, Negeri Sembilan meminjam dua pemain pertahanan iaitu Nik Shahrul Azim Abdul Halim dari Kelantan dan Mohd Sabree Mat Abu dari PKNS FC.

Negeri Sembilan kini menjadi satu-satunya pasukan yang belum tewas dalam aksi liga dengan mengumpul 29 mata, namun berdepan tekanan kerana jurang mata yang kecil dengan pencabar terdekat iaitu Terengganu (27 mata) dan Kuala Lumpur (26 mata).

Berita Harian X