Isnin, 12 Jun 2017 | 8:28pm

Cukai pelancongan: Kerajaan pusat, negeri perlu sepakat


MENTERI Pelancongan, Kesenian, Kebudyaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah. - Foto Che Rani Che Din

KUCHING: Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu mencapai kesepakatan, termasuk berpegang kepada konsep 'menang-menang' dalam menyelesaikan isu pelaksanaan cukai pelancongan.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Miri, Wilson Chiam, berkata kesepakatan itu juga penting dalam meneliti semula cadangan pelaksanaan cukai baharu itu, termasuk kesannya terhadap industri pelancongan secara keseluruhannya.

"Tidak sepatutnya timbul pertikaian seperti apa yang berlaku sekarang. Sepatutnya semua pihak duduk semeja dan berbincang dalam mencari jalan penyelesaian terbaik yang menguntungkan semua pihak, selain mengelak wujudnya keadaan membebankan.

"Kita perlu saling bertoleransi dan menyelesaikan isu ini menggunakan konsep 'menang-menang' demi kebaikan serta masa depan industri pelancongan negara," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Ia sebagai maklum balas berhubung krisis antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berhubung cadangan pelaksanaan cukai pelancongan, pada 1 Julai ini.

Bagaimanapun, Chiam berkata, dalam menyelami isu berkenaan, beliau melihat kadar cukai bakal dikenakan itu agak keterlaluan bagi pengusaha atau pengendali hotel.

"Di seluruh negeri, kita ada lima hotel bertaraf lima bintang berbanding dua atau tiga hotel yang disebut beliau (Nazri). Justeru, kita berharap perkara ini dapat diperhalusi terlebih dulu dengan mengambil pandangan semua pihak berkepentingan," katanya.

Katanya, Malaysia ketika ini sedikit ketinggalan dari aspek pelancongan berikutan peningkatan harga kos, termasuk selepas mengambil kira tambahan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

"Misalnya, dengan yuran lawatan RM1,000 kini hanya boleh menawarkan kemudahan lawatan tiga hari dua malam di Taman Negara Mulu, tidak termasuk tambang penerbangan.

"Padahal, dengan kos sebanyak itu, pelancong boleh pergi ke destinasi lain seperti Bali atau Bangkok," katanya.

Justeru, pelancong kini cenderung untuk memilih ke destinasi yang lebih murah dan berpatutan seperti Indonesia, Thailand, Kemboja serta Vietnam.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Sarawak (SCCI), Datuk Abang Abdul Karim Abang Openg meminta cadangan pelaksanaan cukai pelancongan ditangguhkan, seterusnya diperhalusi semula.

"Bukan hanya pandangan negeri, malah perbincangan bersama pemain industri juga perlu diadakan. Ada perkara memerlukan penjelasan, termasuk tanda tanya sama ada kutipan cukai berkenaan akan dipulangkan semula kepada negeri untuk tujuan pembangunan dan promosi berkaitan.

"Harus diingat pelancong yang datang atas tujuan perniagaan antara penyumbang utama kepada penyediaan perkhidmatan hotel berlesen di Sarawak. Mereka yang kerap datang ke sini atas tujuan perniagaan pasti menerima kesannya," katanya.

SCCI adalah sebuah pertubuhan yang turut disertai pemilik hotel, penyedia perkhidmatan dan teknologi, pengangkutan dan pembekal perkhidmatan logistik.

Berita Harian X