Selasa, 13 Jun 2017 | 8:57am

Pesara guru maut dirempuh kenderaan

TAIPING: Pesara guru maut dalam kejadian langgar lari ketika sedang melintas jalan di Kilometer 78.6, Jalan Sitiawan-Taiping, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Jamiah Alias, 73, dari Batu 8, Jalan Trong, meninggal dunia selepas parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah, berkata siasatan awal mendapati kenderaan yang melanggar mangsa dari arah Taiping ke Trong.

Katanya, mangsa yang ketika itu melintas jalan dilanggar kenderaan itu sebelum pemandu kenderaan itu dipercayai melarikan diri.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Taiping untuk bedah siasat.

"Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenalpasti kenderaan yang melanggar mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya di sini hari ini.

Berita Harian X