Selasa, 13 Jun 2017 | 12:28pm

Kompleks Nasyrul Quran beroperasi


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa menandatangani di atas helaian al quran ketika melawat selepas majlis Pelancaran Wakaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Perasmian Operasi Percetakan Al-Quran di Nasyrul Quran, Putrajaya. - Foto NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Kompleks Nasyrul Quran di sini yang memulakan operasi percetakan, disasar mencetak satu juta naskhah al-Quran setahun.

Pusat operasi di kompleks bernilai RM60 juta itu dirasmikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kewujudan pusat percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia itu adalah usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai antara negara pengeluar dan percetakan al-Quran.

"Malaysia bukan mahu bersaing dengan mana-mana negara dan kita hormati pusat percetakan al-Quran terbesar di Madinah, namun sebagai negara yang berpegang kepada prinsip wasatiyyah, Malaysia juga mahu menyumbang cetakan al-Quran dengan mushaf Malaysia.

"Usaha ini bukan untuk riak atau takbur tetapi meletakkan Malaysia dalam mercu tanda percetakan al-Quran seperti di negara Asia Barat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Wakaf al-Quran peringkat kebangsaan 2017/1438H dan Perasmian Operasi Percetakan al-Quran di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, sejumlah 70 peratus naskhah al-Quran yang dicetak akan digunakan untuk tujuan domestik manakala 30 peratus bagi diwakafkan kepada negara yang mempunyai penduduk minoriti Islam.

146 dibaca
Berita Harian X