Selasa, 13 Jun 2017 | 1:09pm

KIMMA setuju cukai pelancongan dilaksanakan


Presiden Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan hari raya kepada anak yatim pada Program Tadarus Al Quran dan Majlis Sinar Kasih Ramadan anjuran Badan Perhubungan KIMMA Negeri Selangor dan Yayasan Kemajuan Islam Nasional di Masjid Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang. - Foto Faiz Anuar

SHAH ALAM: Cukai pelancongan berkuat kuasa 1 Julai ini dianggap wajar kerana kebanyakan negara serantau sudah lama melaksanakannya.

Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader, berkata pelaksanaan cukai itu tidak sepatutnya dipolitikkan, sebaliknya meminta semua pihak melihat kesan positif untuk jangka panjang kepada negara.

Katanya, kerajaan Pulau Pinang turut mengenakan caj RM3 bagi setiap malam di hotel lima dan empat bintang serta RM2 di hotel tiga bintang dan ke bawah sejak 2014.

"Sudah pasti Kerajaan Persekutuan mengambil kira semua perkara sebelum melaksanakan cukai pelancongan.

"Singapura, Thailand dan Indonesia sudah melaksanakan cukai ini," katanya.

Syed Ibrahim berkata, cukai itu tidak memberi kesan kepada rakyat berpendapatan rendah dan miskin kerana kadar tinggi hanya dikenakan kepada hotel lima dan empat bintang.

"Kalau cukai yang dikenakan memberi kesan kepada orang susah, KIMMA pun bantah. KIMMA berpendapat mereka yang tinggal di hotel mahal ada kemampuan untuk membayar," katanya.

Cukai pelancongan yang bakal berkuat kuasa 1 Julai ini adalah berdasarkan penarafan premis penginapan, iaitu lima bintang akan dikenakan RM20 bagi setiap malam, empat bintang (RM10), tiga hingga empat bintang (RM5) dan premis penginapan tiada penarafan (RM2.50).

Berita Harian X