Selasa, 13 Jun 2017 | 1:41pm

Adi cipta lagu raya pertama 6ixth Sense


ADI (dua dari kiri) dan anggota kumpulannya, 6ixth Sense. - Foto fail NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Pengalaman hidup di perantauan memberikan ilham untuk vokalis 6ixth Sense, Adi Priyo Sambono, mencipta lagu raya pertama untuk kumpulan berkenaan.

Menganggap karya berkenaan sebagai cukup istimewa, penyanyi dan komposer berasal dari Indonesia itu berkata, lagu terbabit dirakam kira-kira dua bulan lalu.

"Lagu raya pertama daripada 6ixth Sense ini dikira istimewa buat saya dan anggota lain. Mungkin ada yang tertanya, kenapa tiba-tiba lagu ini dicipta? Hakikatnya, saya teringin mewakili perasaan golongan yang hidup di perantauan.

"Saya sendiri tinggal berjauhan daripada keluarga. Begitupun saya bersyukur apabila keluarga isteri dan teman 6ixth Sense menjadi galang ganti saat kerinduan datang bertandang, " katanya yang berkahwin dengan wanita tempatan yang juga seorang komposer, Natasyah Ahmad, pada Disember 2015.

Adi berkata, saat ini mereka hanya menunggu masa untuk memperkenalkan lagu terbabit kepada peminat.

"Kami juga mendapatkan rakaman teman yang tinggal dan beraya di perantauan untuk dimasukkan dalam video muzik lagu ini. Insya-Allah, selain lagu raya ini, kami juga akan muncul dengan single baharu selepas Aidilfitri nanti," katanya.

Selain teruja menantikan kemunculan lagu raya mereka, Adi, 33, juga sedang menghitung hari untuk bergelar bapa buat kali pertama apabila isterinya dijangka melahirkan bayi sulung pasangan itu pada penghujung Ramadan.

"Kiranya, saya kini berdepan dengan debaran berganda. Selain lagu raya, anak pertama kami juga dijangka dilahirkan pada 22 Jun ini, insya-Allah.

"Saya memang teruja menantikan detik bergelar bapa. Alhamdulillah, selepas setahun lebih berkahwin, kami akan dikurniakan zuriat. Boleh dikatakan, cepat juga kami diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata. Ada juga kawan yang sudah lama berkahwin, namun mereka belum dikurniakan rezeki sedemikian.

"Saya dan isteri juga sudah membuat persiapan untuk menyambut orang baharu dalam keluarga kami. Bukan saja isteri, malah saya juga kadang-kadang jadi teruja untuk membelikan baju untuknya," kata Adi.

Sementara itu, mengenai Aidilfitri yang bakal tiba, beliau tidak merancang untuk menyambutnya secara beriya-iya kerana ketika itu Natasyah dalam tempoh berpantang.

"Kami memang sediakan baju sedondon untuk raya kali ini, namun rasanya memang tidak boleh dipakai kerana isteri sedang berpantang," katanya.

11 dibaca
Berita Harian X