Selasa, 13 Jun 2017 | 10:13pm

Hishamuddin berbuka di kapal perang KD Lekiu


MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (depan, lima dari kiri) bersama Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) , Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (depan, enam dari kiri) ketika menunaikan solat maghrib pada Majlis Berbuka puasa bersama anggota TUDM di atas Kapal KD Lekiu di Laut China Selatan. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUANTAN: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berbuka puasa bersama 145 pegawai dan anggota kapal perang KD Lekiu di Laut China Selatan.

Hishamuddin bersama Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Affandi Raja Mohamed Noor tiba di kapal berkenaan dengan menaiki helikopter kira-kira jam 6 petang.

Selain beramah mesra dengan pegawai dan anak kapal perang yang ditauliahkan pada tahun 2001, Hishamuddin turut diberi taklimat mengenai kapal itu sepanjang 106 meter dan seberat 2,500 tan.

Beliau kemudian turut bersolat maghrib berjemaah dengan anak kapal sebelum turun ke jeti Pangkalan TLDM di Tanjung Gelang untuk beramah mesra dengan kita-kira 400 warga Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA 1).

Hishamuddin ketika ditemui berkata, Malaysia akan melancarkan rondaan udara bersama Filipina dan Indonesia dalam usaha mengekang ancaman kumpulan pengganas Daesh di rantau ini.

"Kerjasama ini akan dilakukan sejurus selepas rondaan laut bersama dilancarkan Isnin ini (19 Jun) di perairan Mindanao, Filipina.

"Kementerian Pertahanan peringkat negara ASEAN bertekad hadapi ancaman kumpulan pengganas Daesh di negara ini dan kerana itu selepas melancarkan rondaan laut bersama nanti kita juga akan melancarkan rondaan bersama di ruang udara Malaysia.

"Pelan kerjasama ini terbukti berjaya ketika Malaysia, Singapura, dan Indonesia berhadapan dengan ancaman lanun dan jenayah lain di perairan Selat Melaka suatu ketika dahulu," katanya.

Berita Harian X