Rabu, 14 Jun 2017 | 1:20pm

8 maut: Kanak-kanak yatim piatu keluar hospital


MUHAMMAD Alifthaqif Osman dibenarkan keluar hospital hari ini. Kanak-kanak ini menjadi anak yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapanya maut dalam kemalangan, Ahad lalu.- Foto ihsan pembaca

KUALA PILAH: Kanak-kanak tiga tahun yang menjadi yatim piatu sekelip mata apabila ibu bapanya maut dalam kemalangan di Jalan Bahau-Keratong, Jempol, Ahad lalu, dibenarkan keluar dari hospital, hari ini.

Ibu saudaranya, Norzeha Othman, 28, berkata doktor di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), yang merawat Muhammad Alifthaqif Osman, berpuas hati dengan kesihatan kanak-kanak yang patah tangan dan kaki kiri itu.

"Laporan imbasan sinar-X juga mendapati tiada kecederaan dalaman pada kepalanya dan dia juga kelihatan sihat.

"Saya akan membawa dia pulang ke rumah di Jalan Mersing, Endau, Johor, hari ini," katanya yang akan menjaga kanak-kanak itu bersama suaminya, Mohd Syafiq Mohd Said, 28.

Ibu bapa kanak-kanak itu, Rosniza Othman, 32 dan Osman Mohamed Taip, 31, maut dalam kemalangan membabitkan tiga kereta, iaitu Perodua Myvi; Proton Exora, Toyota Vios serta sebuah treler pada jam 2.20 petang, Ahad lalu.

Kemalangan itu turut menyebabkan enam beranak berusia tujuh tahun hingga 51 tahun, rentung apabila Proton Exora dinaiki mereka terbakar selepas dihempap treler.

BH hari ini melaporkan, Muhammad Alifthaqif akan dijaga oleh Norzeha dan suaminya, yang masing-masing dipanggil Mak Su dan Pak Su.

Berita Harian X