Khamis, 15 Jun 2017 | 7:29am

Kebakaran jejas pembentukan kerajaan baharu May

LONDON: Perdana Menteri Britain, Theresa May berdepan kelewatan dalam membentuk kerajaan baharunya selepas bakal sekutunya berkata, perjanjian mereka ditangguhkan berikutan kebakaran maut blok menara kediaman di ibu kota itu, semalam.

Pemimpin Konservatif itu kehilangan majoriti parlimen dalam pilihan raya minggu lalu dan kini terdesak mencari sokongan daripada 10 Ahli Parlimen daripada parti ultra-konservatif, Parti Kesatuan Demokratik Ireland Utara (DUP).

Dalam pada itu, pemimpin Kesatuan Eropah (EU) turut menyuarakan gesaan supaya memulakan rundingan Brexit, yang ditangguhkan berikutan pilihan raya parlimen.

Pusingan awal rundingan antara May dan pemimpin DUP, Arlene Foster Selasa lalu, berakhir tanpa sebarang perjanjian, walaupun kedua-dua pihak berkata mereka berharap perjanjian dicapai.

"Rundingan masih diteruskan tetapi saya rasa peristiwa di London hari ini (kebakaran Grenfell Tower) mungkin akan memberi kesan ke atasnya. Saya rasa tidak mungkin akan ada sebarang pengumuman hari ini," kata jurucakap DUP.

Sekurang-kurangnya 12 maut dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam kebakaran besar yang memusnahkan sebuah blok kediaman 24 tingkat di London semalam, satu tamparan baharu kepada kota itu selepas serangan pengganas di London Bridge kurang dua minggu lalu. - AFP

Berita Harian X