Khamis, 15 Jun 2017 | 9:45am

754 kes demam denggi di Kedah

ALOR SETAR: Sejumlah 42 kes demam denggi direkodkan Jabatan Kesihatan negeri di seluruh Kedah dalam tempoh seminggu antara 4 hingga 10 Jun lalu.

Kes itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 754 kes demam denggi yang direkodkan sepanjang tahun ini sehingga 10 Jun lalu, peningkatan 380 kes atau 100.1 peratus berbanding tempoh sama pada 2016.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata berdasarkan statistik itu, lapan daerah menunjukkan peningkatan kes demam denggi iaitu paling tinggi di Kulim yang mencatatkan 194 kes tahun ini berbanding 61 kes pada 2016, atau meningkat 133 kes.

Katanya, tujuh daerah lain ialah Kuala Muda yang mencatat peningkatan 149 kes (287 kes berbanding 138 kes), Kubang Pasu (49 kes berbanding 17 kes), Langkawi (21 kes berbanding 10 kes), Sik (40 kes berbanding 5 kes), Padang Terap (19 kes berbanding 2 kes), Bandar Baharu (13 kes berbanding 9 kes) dan Baling (77 kes berbanding 72 kes).

"Dari segi lokaliti wabak denggi, ketika ini lima masih aktif tetapi terkawal iaitu Taman Selasih IV di Kulim, Kampung Charuk Kit di Sik, Kampung Changhai di Kubang Pasu, Kampung Banggol 9 di Padang Terap dan Taman Ria Jaya Zon A di Kuala Muda.

"Untuk kes chikungunya pula, sehingga kini wabak aktif hanya berlaku di satu lokaliti iaitu di Taman Ria Zon 4 di Kuala Muda, yang mencatat empat kes sejak wabak bermula 24 Mei lalu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Norhizan berkata, sehingga kini, Jabatan Kesihatan negeri sudah melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan penyakit denggi dan chikungunya di seluruh Kedah dengan melakukan pemeriksaan pembiakan aedes ke atas 266,263 premis dan mendapati 5,162 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.

"Jabatan ini juga mengeluarkan 2,912 kompaun dengan nilai RM1.46 juta di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X