Khamis, 15 Jun 2017 | 12:01pm

Pemandu treler mengaku tak salah

 

KUALA KLAWANG: Pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan meragut lapan nyawa di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, Jempol, Ahad lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Norzailan Omar, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Mengikut pertuduhan, Norzailan didakwa memandu treler secara berbahaya tanpa mengambil perhatian mengenai segala hal keadaan termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan serta kesesakan lalu-lintas yang boleh dijangkakan atau mungkin ada di atas jalan itu sehingga menyebabkan kematian lapan orang pemandu serta penumpang yang menaiki dua kenderaan lain.

Berikutan itu, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

Selain itu, lesennya boleh digantung dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tiga tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 21 Julai depan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Nik Azhan Hakim Nik Mahmood dan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian jam 2.20 petang Ahad lalu, treler yang dipandu tertuduh, terbabit dalam kemalangan dengan tiga buah kenderaan lain, iaitu Perodua Myvi, Proton Exora dan Toyota Vios.

Kemalangan itu menyebabkan lapan orang daripada dua keluarga maut dengan enam daripadanya rentung selepas kereta mereka dihempap treler itu sebelum terbakar.

 


Anggota polis mengiringi pemandu lori treler 44, dibawa Mahkamah Majistret Jelebu berhubung kemalangan memyebabkan lapan maut termasuk enam rentung dalam kejadian di kilomenter 25 Jalan Bahau-Keratong dekat Ladang Risda Palong. - Foto Adzlan Sidek

​​​​​​​

Berita Harian X