Jumaat, 16 Jun 2017 | 11:28pm

McDonald tamatkan tajaan Olimpik

LAUSANNE: Rangkaian restoran makanan segera terkemuka, McDonald mengakhiri penajaan jangka panjangnya dengan Olimpik sejak 1976, umum Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), hari ini.

Syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS) itu menjadi penyokong kuat sejak temasya di Montreal, Kanada dan sekali pun penamatan kerjasama itu berkuat kuasa serta merta, tajaan bagi Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan 2018 tetap diteruskan.

"IOC dan McDonald mengumumkan yang kedua-duanya sudah mencapai persetujuan untuk menamatkan kerjasama di peringkat antarabangsa," kata IOC dalam satu kenyataan.

Rangkaian restoran yang terkenal dengan burger itu adalah satu daripada penaja utama IOC, bersama-sama Coca Cola, Visa, Bridgestone, Panasonic, Toyota dan Omega.

IOC memberikan alasan terhadap perpisahan itu dengan berkata: "Dalam landskap perniagaan yang berkembang pesat hari ini, kami faham McDonald sedang memberi tumpuan kepada keutamaan perniagaan yang berbeza."

Ketua Pegawai Pemasaran Global McDonald, Silvia Lagnado berkata: "Sebagai sebahagian daripada rancangan pertumbuhan global, kami menimbang semula segala aspek perniagaan.

"Kami sudah membuat keputusan membabitkan kerjasama dengan IOC untuk memberi tumpuan terhadap keutamaan yang berbeza." - AFP

Berita Harian X