Sabtu, 17 Jun 2017 | 1:59pm

Zaidatul sasar baiki teknik larian sebelum Sukan SEA


PELARI pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli.- Foto BERNAMA

SEPANG: Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli akan memperbaiki teknik lariannya bagi mencerahkan peluang meraih pingat emas dalam acara 100m wanita pada Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Pemegang rekod kebangsaan 100m itu atau dikenali dengan panggilan 'Adeq' dalam kalangan rakan sepasukan menjelaskan, cabaran utama pada Sukan SEA dijangka hadir dari atlet Vietnam, Tu Chinh Le yang menewaskannya pada Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Thailand yang berakhir Khamis lalu.

"Walaupun kalah di Thailand, belum tentu kita akan kalah di Sukan SEA. Kekalahan itu semestinya memberi lebih semangat kepada Adeq untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

"Adeq lihat mungkin kelemahan yang ada ketika ini adalah untuk memperbaiki teknik larian dan pecutan dan Adeq harap jurulatih, M Balamurugan dapat bantu Adeq dalam perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita setibanya skuad olahraga negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang dari Bangkok, di sini, malam tadi.

Mengulas mengenai prestasinya pada Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Thailand, Zaidatul berpuas hati dengan kutipan satu pingat emas dalam acara 4x100m wanita dan satu perak dalam acara 100m yang juga tonik terbaik untuk dirinya sebelum menghadapi Sukan SEA 2017.

Dia turut memaklumkan akan menyertai Kejohanan Olahraga Asia ke-22 di India pada 6 hingga 9 Julai ini.

BERNAMA

Berita Harian X