Khamis, 15 Januari 2015 | 1:56pm

Tiada bank tempatan dijangka bergabung dalam tempoh terdekat

KUALA LUMPUR: Kenanga Investment Bank Bhd menaikkan penarafan RHB Capital Bhd (RHBCAP) kepada 'prestasi tinggi', menurunkan harga sasaran Malaysia Building Society Bhd (MBSB), namun tidak membuat sebarang perubahan ke atas CIMB Group Holdings Bhd (CIMB), susulan penamatan rundingan cadangan penggabungan.

"Mengambil petunjuk daripada perkembangan ini, kami berpendapat bahawa tiada sebarang usaha penggabungan lain di peringkat domestik akan berlaku dalam tempoh terdekat," kata bank pelaburan itu dalam nota kajiannya hari ini.

Cadangan penggabungan itu dibatalkan kerana tidak diunjur dapat meningkatkan nilai berikutan situasi ekonomi semasa yang lemah, yang tidak membolehkan potensi sinergi direalisasikan.

Kenanga Research mengekalkan harga sasaran RHBCAP pada RM9.35 kepada 'berprestasi tinggi' dan menurunkan harga sasaran MBSB kepada RM2.65 daripada harga tawaran RM2.82.

"Kami mengekalkan unjuran 'neutral' ke atas sektor ini kerana ia masih kekurangan pemangkin penarafan semula.

Mengikut firma penyelidikan itu, halangan struktur dan kitaran seperti pertumbuhan pinjaman yang perlahan, margin faedah bersih yang kecil, aktiviti pasaran modal yang lemah dan kos kredit yang tinggi dijangka dicatat tahun ini.

Sementara itu, AllianceDBS Research menurunkan sasaran harga CIMB kepada RM6.20 namun mengekalkan saranan 'simpan' selepas mengambil kira kelemahan dalam peruntukan dan pendapatan bukan faedah.

"Atas sebab yang sama, kami menurunkan saranan RHBCAP kepada 'simpan' dan menyemak semula harga sasaran kepada RM8.20. Kami sebelum ini menambat harga sasaran RHBCAP pada 1.3 kali nilai entiti bergabung," kata firma penyelidikan itu. - BERNAMA

Berita Harian X