Selasa, 20 Jun 2017 | 5:39pm

Polis rampas mercun bernilai RM60,000


KETUA Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat (dua kanan) menunjukkan sebahagian mercun "Happy Boom" dan mercun bola yang dirampas bernilai RM 60,000 di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam. - Foto Shazreen Zamzuri

SHAH ALAM: Polis merampas tiga jenis mercun berharga RM60,000 yang disorokkan dalam bengkel kereta di Sri Muda, Seksyen 25, di sini, semalam.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, mercun berkenaan yang dirampas kira-kira jam 2 pagi itu milik seorang ejen insuran berusia 25 tahun.

Katanya, hasil siasatan mendapati, bahan tanpa lesen sah itu dipercayai diimport dari luar negara dan mahu dibekalkan kepada penjual untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

"Hasil pemeriksaan kemudian menemui 840 bungkus mercun papan, 246 bungkus mercun bola dan 10 kotak mercun 'Happy Boom' di dalam premis terbabit.

"Suspek didapati tidak mempunyai lesen sah untuk menjual atau membekalkan mercun itu dan semuanya dirampas untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Shafien berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mengenal pasti pembabitan individu lain termasuk pembeli mercun yang diimport itu serta bagaimana bekalan mercun itu diperolehi.

"Lelaki itu didapati membekalkan lebih banyak mercun dipercayai membabitkan hampir satu kontena sebelum ini dan banyak bahan itu sudah dijual.

"Suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

 

Berita Harian X