Rabu, 21 Jun 2017 | 4:15pm

PM, isteri hadir khatam al-quran, berbuka puasa

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bergambar bersama anak-anak Permata pada majlis khatam al-Quran dan berbuka puasa di Seri Perdana. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bergambar bersama anak-anak Permata pada majlis khatam al-Quran dan berbuka puasa di Seri Perdana. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menghadiri majlis khatam al-Quran dan berbuka puasa di Seri Perdana, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif.

Pada majlis itu, Rosmah dan anak perempuannya, Nooryana Najwa serta empat lagi rakannya, khatam al-Quran dengan dibimbing oleh Ustaz Ahmad Subkhy Othman.

Terdahulu, hadirin mendengar tazkirah bertajuk Keistimewaan 10 Hari Terakhir Ramadan, yang disampaikan oleh Ustaz Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Ustaz Syamsul Debat.

Najib dan Rosmah kemudian berbuka puasa bersama-sama kira-kira 370 tetamu, termasuk anggota Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) serta Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA).

Rosmah kemudian menyampaikan sumbangan Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia kepada Sri Lanka berjumlah RM50,000, yang diserahkan kepada kepada Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia, AJM Muzammil.

Selain itu, Perdana Menteri dan isteri menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada anak yatim dari Persatuan Kebajikan Anak Yatim Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PERKAYATIM), pelajar Tahfiz Taman Duta dan anak-anak Permata. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X