Khamis, 22 Jun 2017 | 8:54pm

KTM Berhad rai penumpang

MOHD Hider Yusoff (tengah) bersama Pengurus Besar Perkhidmatan ETS/Intercity, Justine Jude (dua kiri) mengedarkan pek cenderahati hari raya kepada penumpang KTM Berhad di Stesen KL Sentral. - Foto Halim Salleh
MOHD Hider Yusoff (tengah) bersama Pengurus Besar Perkhidmatan ETS/Intercity, Justine Jude (dua kiri) mengedarkan pek cenderahati hari raya kepada penumpang KTM Berhad di Stesen KL Sentral. - Foto Halim Salleh

KUALA LUMPUR: KTM Berhad (KTMB) mengagihkan 1,700 pek cenderahati Aidilfitri kepada penumpang perkhidmatan pengangkutan itu, di Stesen KL Sentral, petang tadi.

Pek berisi makanan, kuih raya dan sampul duit raya rekaan istimewa KTMB itu diberikan kepada penumpang KTM Komuter, Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Intercity.

Pengurus Besar Jabatan Perolehan (Pemangku Tugas Presiden) KTMB, Mohd Hider Yusoff, berkata usaha itu adalah bagi menghargai peranan rakan kerjasama strategik, media dan penumpang setia perkhidmatan disediakan KTMB.

"Majlis hari ini bertujuan meraikan semua pihak yang sentiasa menyokong perkhidmatan KTMB. Malah, program edaran pek berkenaan adalah acara tahunan yang dilakukan setiap kali musim perayaan.

"Kami berharap usaha ini dapat memperkukuhkan hubungan dengan rakan strategik dan agensi media serta penumpang kami," katanya pada sidang media selepas mengedarkan pek berkenaan.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Perkhidmatan KTM Komuter, Khair Johari Ishak; Pengurus Besar Perhidmatan KTM Intercity/ETS, Justin Jude dan wakil rakan strategik KTMB.

Sempena Aidilfitri, KTM turut menawarkan 2,000 keping Kad Komuter Link secara percuma kepada orang ramai mulai 22 hingga 24 Jun ini.

Orang ramai hanya perlu membayar RM10 bagi nilai kredit yang tersedia di dalam kad berkenaan.

Dalam perkembangan lain, KTMB menjalin kerjasama dengan penyedia perkhidmatan pengangkutan e-panggilan, Grab, yang menawarkan promosi nilai tambah bagi penumpang yang menggunakan Grab di 16 stesen komuter terpilih.

Promosi berkenaan memberi diskaun sehingga RM6 untuk dua kali penggunaan kod promo GRABRAYAKTM, mulai 21 hingga 28 Jun ini.

Antara stesen komuter terbabit adalah Rawang, KL Sentral, Shah Alam, Subang Jaya dan Bandar Tasik Selatan.

Mohd Hider berkata, sejumlah 128,362 tiket bagi perkhidmatan tren ETS dan 12,581 tiket KTM Intercity sudah dijual sejak 18 Jun lalu.

"Tahun ini, KTMB menyediakan 191,000 tiket ETS dan 21,480 tiket bagi KTM Intercity. Sehingga hari ini, lebih 70 peratus dan 54 peratus tiket tren berkenaan sudah dijual.

"KTMB turut menambah 38 tren ETS pada hari bekerja dan 40 pada hujung minggu." katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X