Jumaat, 23 Jun 2017 | 3:07pm

Pemandu Uber cedera ditetak

JERTIH: Seorang pemandu UBER cedera ditetak ketika berehat di sebuah stesen minyak di sini awal pagi tadi manakala keretanya dilarikan penyamun.

Dalam kejadian jam 3.15 pagi di stesen minyak Petronas, Seberang Jertih, di sini, kereta Kia Forte milik mangsa berusia 29 tahun dari Kampung Nipah, Bachok, Kelantan, dilarikan suspek, selain cedera parah di dahi, belakang kepala, ibu jari tangan kanan dan lengan kanan akibat ditetak penjenayah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata ketika kejadian mangsa yang keletihan memandu berseorangan dalam perjalanan pulang cuti Aidilfitri ke Bachok dari Kuala Lumpur berhenti untuk berehat di stesen minyak berkenaan.

Beliau berkata, ketika mangsa berehat, sebuah kereta Perodua Myvi kuning berhenti di belakang kereta mangsa.

"Tiba-tiba datang tiga lelaki menuju ke arah mangsa dengan seorang daripada mereka kemudian terus menetak mangsa menggunakan parang.

"Suspek kemudian bertindak membawa lari kereta mangsa sebelum mangsa ditinggalkan di tempat kejadian dan diselamatkan orang awam sebelum dihantar ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Mohd Zamri berkata, pihaknya kini giat memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera ketika melakukan samun.

Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan peka terhadap sebarang risiko jenayah berikutan ia kes tetak kedua berlaku di daerah itu dalam tempoh 48 jam dengan kes pertama membabitkan kematian seorang lelaki di Kampung Pengkalan Nyireh, Besut, kelmarin.

Berita Harian X