Ahad, 25 Jun 2017 | 10:16pm

2 beradik maut dilanggar pacuan empat roda


DUA beradik maut dalam nahas membabitkan dua motosikal dan sebuah pacuan empat roda di simpang Kampung Jaya Bakti, Jalan Sandakan-Beluran, petang tadi. - Foto ihsan pembaca.

SANDAKAN: Dua beradik maut apabila motosikal dinaiki bergesel dengan motosikal lain sebelum tercampak dan dilanggar pacuan empat roda dalam kemalangan di simpang Kampung Jaya Bakti, Jalan Sandakan-Beluran, dekat sini, petang tadi.

Mangsa yang juga warga Filipina, Abdurasid Asad Kassin, 25 dan adiknya, Abdurazim Asad Kassin, 17, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu.

Dalam kejadian itu, dua beradik terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Bukit Garam ke Beluran dan bergesel dengan sebuah lagi motosikal dari arah sama ketika cuba memotong tiga kenderaan di hadapan.

Akibat pergeselan itu, motosikal dinaiki mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar sebuah kereta pacuan empat roda yang dipercayai tidak sempat mengelak.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin, berkata penunggang sebuah lagi motosikal hanya cedera ringan selepas tercampak ke bahu kiri jalan.

"Siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca daripada kecuaian dua motosikal yang cuba memotong tiga kenderaan.

"Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Beluran untuk dibedah siasat," katanya, sebentar tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X