Isnin, 26 Jun 2017 | 7:00am

10 IPT siap siaga hadapi peringkat akhir PEC 2017

AMINAR (dua dari kiri) bergambar selepas sidang media PEC 2017 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

SEBANYAK 10 institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan berjaya melangkah ke peringkat akhir pertandingan Perodua Eco Challenge 2017 (PEC 2017) dan akan mula membangunkan projek masing-masing untuk bersaing merebut hadiah RM85,300.

IPT terbabit adalah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Politeknik Ungku Omar.

Pendedahan kepada pelajar

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata, PEC 2017 yang kini memasuki fasa kedua bertujuan memberi pendedahan berkesan kepada pelajar untuk membangunkan produk berimpak tinggi.

Beliau berkata, pihaknya turut menyediakan latihan bagi meningkatkan keyakinan peserta supaya lebih berani dan bersedia dalam mendepani cabaran pasaran kerjaya sebenar kelak.

"Pada peringkat akhir, kami akan memilih dan mengguna pakai sekurang-kurangnya satu produk terbaik yang dihasilkan oleh pasukan terbabit.

"Pada fasa ini, pelajar perlu merancang dan membina prototaip dengan sebaiknya, di samping menghasilkan reka bentuk, menaik taraf, serta menguji produk dibangunkan secara lebih menyeluruh," katanya dalam sidang media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

PEC yang dilancarkan pada 2009 adalah platform yang memberi peluang kepada pelajar IPT untuk menonjolkan kreativiti tersendiri dari aspek rekaan, kejuruteraan dan pemasaran.

Info:
Penyertaan Perodua Eco Challenge 2017 (PEC 2017)

  • Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
  • Universiti Teknologi Mara (UiTM)
  • Universiti Kuala Lumpur (UniKL)
  • Universiti Teknologi Petronas (UTP)
  • Universiti Malaya (UM)
  • Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)
  • Universiti Malaysia Pahang (UMP)
  • Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
  • Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS)
  • Politeknik Ungku Omar
Berita Harian X