Rabu, 28 Jun 2017 | 7:11am

Virus GoldenEye, Petya serang komputer

MOSCOW/KIEV/WASHINGTON: Serangan siber terbaharu membabitkan virus yang dikenali sebagai 'GoldenEye' atau 'Petya', menjejaskan syarikat minyak terbesar di Russia, bank di Ukraine dan firma multinasional.

Virus berkenaan dikatakan menyamai virus ransomware, yang menyerang bulan lalu hingga menjejaskan lebih 300,000 komputer.

Menurut Kaspersky Lab, Russia dan Ukraine terjejas terus dalam serangan siber terbaharu itu, selain 2,000 serangan dikesan di New York.

"Ia turut menyerang mangsa di beberapa negara lain seperti Britain, Perancis, Jerman, Itali, Poland dan Amerika Syarikat," kata jurucakap pembuat perisian keselamatan itu.

Bagaimanapun, pakar keselamatan berkata, mereka menjangkakan kesan serangan itu adalah lebih kecil berbanding serangan virus WannaCry kerana sebahagian besar komputer sudah dikemas kini dengan perisian terbaharu Windows.

Katanya, langkah itu dapat melindungi pengguna daripada serangan yang menggunakan kod biru kekal.

Sementara itu, jurucakap Microsoft berkata, syarikat itu masih menyiasat serangan berkenaan.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat pula berkata, mereka sedang memantau serangan itu dengan kerjasama beberapa negara lain.

Jabatan itu menasihatkan mangsa supaya tidak membuat sebarang pembayaran kepada penggodam kerana ia tidak menjamin akses terhadap komputer akan dipulihkan. - REUTERS

20 dibaca
Berita Harian X