Rabu, 28 Jun 2017 | 8:30pm

Tiada serangan siber NotPetya di Malaysia


SERANGAN siber Ransomware NotPetya yang kini dilaporkan sedang berleluasa di Eropah. - Foto EPA

KUALA LUMPUR: Malaysia belum menerima sebarang kes atau insiden berkaitan serangan siber Ransomware NotPetya yang kini dilaporkan sedang berleluasa di Eropah.

Bagaimanapun, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM), dalam kenyataan berkata, Malaysia juga berpotensi mengalami serangan itu.

Katanya, agensi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII), Pusat Kawalan dan Penyelerasan Siber Negara (NC4) sudah diaktifkan dalam fasa berjaga-jaga.

"CNII sudah dinasihatkan supaya mengambil langkah perlindungan melalui 'advisories' yang sudah diedarkan.

"Pengguna dinasihat mengemaskini sistem pengoperasian windows, perisian anti-virus, membuat salinan fail penting serta tidak membuka e-mail diragui, " katanya.

Katanya, NC4 kini sedang memantau rapi situasi ancaman serangan siber berkenaan.

Ransomware adalah sejenis perisian merbahaya yang menyekat akses kepada komputer yang dijangkitinya menggunakan kaedah penyulitan dan menuntut wang tebusan sebagai syarat mengakses semula komputer.

Ianya menggunakan kod ransomware Petya yang diwujudkan tahun lalu, dengan sedikit pengubahsuaian dibuat, untuk menyamai kaedah diguna pakai ransomware Wannacry.

Bagi bentuk serangan siber terbaharu ini, ia mengeksploit komputer yang mengguna pakai perisian Microsoft Windows yang tidak dikemaskini dengan 'patches' terkini.

MKN berkata, wang tebusan dalam bentuk Bitcoin atau sejenis mata wang digital dituntut daripada mangsa sebagai syarat mendapatkan semula akses kepada komputer bagi mendapatkan kunci melalui alamat e-mail wowsmith123456@posteo.net.

Bagaimanapun, pembekal perkhidmatan e-mail Posteo sudah menyekat akaun e-mail berkenaan yang menghalang mangsa mendapatkan kunci yang dihantar.

"Sehubungan itu, mangsa disarankan supaya tidak membuat sebarang bayaran," katanya.

Sehingga kini, pelbagai sektor dan perkhidmatan kritikal seperti kerajaan, tenaga, pengangkutan, komunikasi, kesihatan dan perbankan sudah dijangkiti oleh serangan ini membabitkan 13 negara.

Sebelum ini, dunia juga dikejutkan dengan serangan siber Ransomware WannaCry yang menjejaskan banyak agensi termasuk hospital di United Kingdom.

12 dibaca
Berita Harian X