Khamis, 29 Jun 2017 | 2:05pm

82 penerbangan hubungkan China seminggu mulai Julai


MENTERI Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun (lima dari kiri) diiringi Pengarah Eksekutif BAH, Sufiah Abdul Rahim Lee (empat dari kanan) di Majlis Perasmian Borneo Ant House (BAH), Kampung Kindu di Tuaran. - Foto Malai Rosmah Tuah

TUARAN: Kekerapan penerbangan dari China ke Sabah terus bertambah dengan sebanyak 82 penerbangan seminggu bakal mendarat dan berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) mulai bulan depan.

Ketika ini, KKIA mengendalikan 79 penerbangan dari beberapa wilayah di China dalam tempoh seminggu, kebanyakannya membawa pelancong negara berkenaan untuk bercuti di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata jumlah itu tidak termasuk penerbangan sewa khas yang dikendalikan syarikat penerbangan negara terbabit.

"Tahun lalu saja sebanyak 183 penerbangan sewa khas dari China tiba di negeri ini. Jumlah penerbangan menghubungkan Sabah dan China bertambah kerana ramai rakyat negara itu menjadikan Sabah destinasi percutian berikutan jaraknya yang dekat.

"Ini secara tidak langsung meningkatkan lagi kedatangan pelancong China ke Sabah. Ketika ini jumlah pelancong negara berkenaan adalah yang paling ramai iaitu mewakili 33.4 peratus daripada keseluruhan pelancong asing," katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Borneo Ant House, iaitu sebuah galeri yang menjadi tarikan baharu pengunjung termasuk pelancong asing di Kampung Kindu di sini, hari ini.

Selain China, Masidi berkata Sabah turut menerima banyak penerbangan dari Korea Selatan dengan 28 penerbangan seminggu ketika ini.

Katanya, perkembangan itu membuka banyak peluang kepada pelabur tempatan bagi meneroka produk pelancongan baharu untuk ditawarkan kepada pelancong ke negeri itu.

"Sebagai contoh, Borneo Ant House adalah antara inisiatif yang saya lihat berpotensi dijadikan persinggahan pelancong, termasuk menjadi tempat rehat pelancong sementara menunggu penerbangan selepas mereka mendaftar keluar dari hotel.

"Faktor jarak bukan masalah kerana perjalanan ke daerah ini hanya mengambil masa kira-kira setengah jam dari Kota Kinabalu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Borneo Ant House, Sofiah Abdul Rahim Lee, berkata galeri itu yang mempamerkan sebanyak 463 replika semut pelbagai saiz dalam sebuah ruang bawah tanah adalah yang pertama seumpamanya di negara ini.

Galeri itu yang turut mempamerkan budaya tradisi masyarakat setempat, selain kemudahan tambahan seperti jambatan gantung, rumah atas pokok, restoran serta kedai cenderamata dibina di kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar.

Katanya, pembinaannya mengambil masa dua tahun dengan kos kira-kira RM700,000 dan ia akan dibuka secara rasmi untuk kunjungan orang ramai mulai Sabtu ini.

Berita Harian X