Khamis, 29 Jun 2017 | 2:32pm

Kuartet 4x100m negara sasar bawah 40 saat


PELARI pecut negara, Jonathan Nyepa (tengah) bersama atlet olahraga negara yang menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Korea tiba di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) malam ini. Turut bersama Jurulatih Olahraga, M. Balamurugan (dua dari kiri). - Foto BERNAMA

SEPANG: Empat pelari pecut lelaki terbaik negara akan digandingkan dalam acara 4x100 meter buat pertama kali pada Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATP) ke-22 di Bhubaneswar, India, 6 hingga 9 Julai ini.

Jurulatih acara pecut, M Balamurugan berkata kuartet berkenaan - Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa, Badrul Hisham Abdul Manap dan Nixson Kennedy - diberi sasaran catatan masa bawah 40 saat.

"Pemilihan bayangan kuartet lelaki untuk Sukan SEA ini kita buat berdasarkan kepada prestasi yang ditunjukkan selepas Kejohanan Terbuka Thailand, awal bulan ini," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik pulang daripada Kejohanan Terbuka Korea di Jeongseon, Korea Selatan, malam tadi.

​​​​​Selain, keempat-empat mereka, skuad olahraga negara turut mempunyai beberapa lagi pelari pecut, termasuk Muhammad Aqil Yasmin.

Berdasarkan kepada prestasi dan catatan masa terkini, Balamurugan berkata Malaysia mempunyai antara barisan pelari pecut terbaik di rantau Asia Tenggara ketika ini.

Pada Terbuka Thailand, 15 Jun lalu, saingan acara 4x100m lelaki menyaksikan Malaysia menamatkan aksi di tempat ketiga dengan catatan masa 40.02s, tewas kepada Thailand yang memenangi pingat emas dengan masa 39.54s manakala perak menjadi milik Hong Kong (39.84s).

"Saingan utama kita pada temasya Sukan SEA nanti adalah Thailand dan Indonesia. Secara purata, kuartet Thailand mempunyai catatan masa terbaik 39.8s, Indonesia pula dalam lingkungan 39.9s," katanya.

Balamurugan berkata kuartet lelaki itu akan berlatih bersama selama empat hari sebelum bertolak ke India, Isnin ini.

"Saya akan bincang dengan pengurusan KOM (Kesatuan Olahraga Malaysia) untuk dapat menggandingkan mereka di MSN (Majlis Sukan Negara) dalam tempoh itu memandangkan Khairul dan Badrul sedang menjalani latihan di SSTMI (Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail)," katanya.

Menurut jadual asal, katanya, mereka akan berlatih di SSTMI dan memandangkan Jonathan dan Nixson baru pulang dari Korea Selatan, perbincangan semula dengan presiden KOM, Karim Ibrahim dan ketua jurulatih olahraga, Zainal Abas akan diadakan segera.

Thailand memegang rekod Sukan SEA acara 4x100m lelaki dengan masa 38.95s yang dirakam pada temasya 2007 di Korat dan negara itu sekali lagi memenangi emas di Singapura dua tahun lalu, dengan catatan 38.99s. - BERNAMA

Berita Harian X