Khamis, 29 Jun 2017 | 3:31pm

Virus Petya - Elak buka emel meragukan


PAKAR keselamatan siber Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber UIAM, Prof Madya Dr Normaziah Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR: Serangan siber terkini membabitkan virus dikenali 'GoldenEye' atau 'Petya' yang menjejaskan operasi syarikat minyak terbesar di Russia, bank di Ukraine dan firma multinasional di Eropah serta New York tidak mustahil turut menjejaskan individu.

Pakar keselamatan siber dari Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Normaziah Abdul Aziz, berkata bagi mengelak serangan virus itu, pengguna perlu mengelak membuka pautan mengelirukan dikirim menerusi emel, WhatsApp, Telegram, Facebook, atau media sosial lain.

Katanya, mereka juga perlu mengelak melakukan transaksi kewangan dengan menggunakan talian awam seperti WiFi percuma di kedai, lapangan terbang, siber kafe, begitu juga pada komputer awam.

"Dari beberapa laporan keselamatan siber di luar negara, antara sebab serangan ini masih mudah berlaku kerana kelembapan mengemas kini atau tampalan Sistem Operasi Windows, selepas serangan WannaCry Mei lalu," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau diminta mengulas kebimbangan orang ramai berikutan serangan virus 'GoldenEye' atau 'Petya' yang menyamai virus ransomware, yang menyerang bulan lalu sehingga menjejaskan lebih 300,000 komputer.

Dalam pada itu, Normaziah berkata kajian masih dijalankan untuk menganalisis variasi baru Petya ransomware yang dikesan merebak melalui protokol SMB Windows Microsoft, menggunakan perisian Eternalblue sama seperti serangan WannaCry bulan lalu.

"Dijangka kesan serangan itu adalah lebih kecil berbanding serangan virus WannaCry kerana sebahagian besar komputer sudah dikemas kini dengan perisian terbaharu Windows," katanya.

Pada 15 Jun lalu, CyberSecurity Malaysia mengumumkan berjaya menemui kaedah pemulihan data akibat jangkitan serangan Ransomware Wannacry.

Berita Harian X