Khamis, 29 Jun 2017 | 6:38pm

Muhammad Faiz Hafizuddin dimasukkan semula ke ICU


PELAJAR tahfiz, Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir, mangsa kemalangan van di Kampung Telekong, terpaksa dimasukkan semula ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) selepas doktor mengesan paru-parunya dijangkiti kuman. - Foto ihsan bomba

KOTA BHARU: Pelajar tahfiz, Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir, mangsa kemalangan van di Kampung Telekong, terpaksa dimasukkan semula ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) selepas doktor mengesan paru-parunya dijangkiti kuman.

Bapanya, Mohd Izahir Kassim, 49, berkata Muhammad Faiz Hafizuddin, 17, dipindahkan ke wad biasa pada 1 Syawal lalu dan bernafas tanpa menggunakan mesin bantuan pernafasan.

Bagaimanapun, selepas beberapa jam, beliau terpaksa dimasukkan semula ke ICU selepas menghadapi masalah paru-paru pada hari sama.

"Ketika dibawa keluar dari ICU dan ditempatkan di wad biasa, kami sekeluarga agak lega kerana keadaannya semakin baik malah ahli keluarga dapat melawatnya lebih bebas.

"Namun, pada tengah hari Aidilfitri lalu, pernafasan Muhammad Faiz kembali tidak normal dan dia terpaksa dimasukkan kembali ke ICU," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Faiz yang dimasukkan ke HUSM sejak 3 Jun lalu berada dalam keadaan koma sebelum mula menunjukkan perubahan positif apabila mencelikkan mata pada Sabtu lalu.

BH sebelum ini melaporkan van yang membawa 12 pelajar tahfiz dan dua guru agama terbabas sebelum merempuh rumah di Kilometer 55 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Kampung Telekong, Kuala Krai kira-kira jam 9.30 pagi, pada 2 Jun lalu.

Kejadian itu menyebabkan tujuh pelajar Maahad Tahfiz Al Hashimi, Tualang maut iaitu lima meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua di Hospital Kuala Krai.

Mohd Izahir berkata, sepanjang dirawat di ICU, anaknya menggunakan alat bantuan pernafasan beberapa jam dan diselang-selikan dengan bernafas sendiri.

Katanya, pada Aidilfitri semua ahli keluarga 'berkampung' di HUSM bagi memberikan sokongan selain mengetahui perkembangan Muhammad Faiz.

"Siang malam kami sekeluarga berdoa kepada Allah supaya memberi kesembuhan kepada Muhammad Faiz seterusnya pulih seperti biasa," katanya yang sangat bersyukur dengan perkembangan positif yang ditunjukkan anaknya itu.

Berita Harian X